no script

Kos mengadakan kenduri kahwin sekarang ini sudah menjadi sangat tinggi dan akan berterusan meningkat. Maka, di sini kami kongsikan beberapa perkara yang boleh anda pertimbangkan untuk mengurangkan kos kenduri:

  1. Adakan Kenduri di Rumah

Sekiranya boleh, pilih lokasi kenduri di kawasan rumah sendiri. Kos penyewaan khemah dan hiasan yang dipasang di kawasan rumah sudah pasti jauh lebih murah berbanding menyewa dewan atau hotel untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan. Tapi perlu beringat, maklumkan dan dapatkan kebenaran jiran tetangga supaya mereka tidak merasa terganggu.
Andai kawasan rumah tidak sesuai, minta kebenaran majlis perbandaran berdekatan untuk menggunakan padang atau dewan serbaguna.

  1. Hadkan Jumlah Tetamu

Sudah tentu kita mahukan kenduri kahwin kita dihadiri tetamu seramai yang mungkin. Namun, untuk menjimatkan kos kenduri, hadkan jumlah tetamu. Letakkan jumlah tertentu, kemudian isikan senarai tetamu dengan ahli keluarga terdekat dahulu, kemudian sahabat dan rakan yang rapat, kemudian rakan-rakan kepada ibu bapa dan seterusnya. Kemudian, sekiranya betul-betul perlu, barulah tambah lagi jumlah jemputan.
Strategi ini bukan sahaja boleh menjimatkan, malah mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan tempahan makanan.

  1. Gotong-Royong

Gotong-royong atau rewang untuk persiapan kenduri kahwin ialah cara yang baik untuk menjimatkan perbelanjaan kenduri. Bukan itu sahaja, aktiviti bergotong-royong boleh menguatkan silaturrahim sesama keluarga dan jiran tetangga, dan juga menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

  1. Upah Adik-Beradik atau Rakan untuk Menjadi Jurugambar atau Juruvideo

Walaupun biasanya jurugambar perkahwinan professional menghasilkan gambar dan video yang berkualiti, namun upahnya kadangkala terlalu mahal.
Sekiranya terdapat ahli keluarga atau rakan yang mempunyai kemahrian atau hobi dalam fotografi, cuba dapatkan pertolongan mereka untuk majlis anda. Berilah mereka sedikit upah sebagai penghargaan.

  1. Gunakan Pelamin DIY

Bina sendiri pelamin dengan menggunakan perabot sedia ada dan hiasan buatan sendiri. Biasanya saudara-mara dan rakan golongan hawa sangat berminat untuk membantu menghias pelamin.
Contohnya, anda boleh gunakan kerusi bangku taman dan langsir putih, dihiasi dengan bunga dan lampu berwarna.

  1. Make-up Sendiri

Mengenakan mekap sendiri boleh mengurangkan lagi perbelanjaan kahwin. Sekiranya anda mahu, belajar teknik mekap yang ringkas dan menarik, dan berlatih sebelum majlis anda.
Anda juga boleh minta rakan atau keluarga yang mahir untuk membantu.

  1. DJ Sendiri

Dengan menggunakan laptop dan speaker, anda boleh menyediakan hiburan untuk para tetamu tanpa perlu mengupah DJ. Cari lagu-lagu yang sesuai dan menarik di YouTube dan buat playlist untuk dimainkan. Mudah bukan?

Kami cadangkan para bakal pengantin membuat sedikit kajian harga dan vendor-vendor yang ada, kemudian memilih servis atau produk yang berbaloi dibeli atau diupah. Jimatkan kos yang mana boleh dikurangkan, dan sekiranya perlu, dapatkan khidmat pakar.

KahwinLife.com juga menyenaraikan produk dan servis perkahwinan oleh vendor-vendor berkualiti di seluruh Malaysia. Anda boleh mulakan kajian anda di sini.

Semoga berjaya!

Artikel menarik:

Kongsikan