no script

Persiapan perkahwinan merupakan proses yang memakan masa, tenaga, dan wang ringgit. Ia adalah tempoh yang boleh menyebabkan stress, lebih-lebih lagi ia melibatkan banyak pihak dan banyak aktiviti. Jadi untuk memastikan semua persiapan di bawah kawalan bukanlah tugas yang mudah.
Berikut merupakan checklist persediaan perkahwinan untuk rujukan bakal-bakal pengantin. Masing-masing kena ada checklist, baru persiapan akan lebih teratur nanti. Diharap ianya bermanfaat dan dapat memudahkan persediaan anda 😀

1. DAFTAR KURSUS KAHWIN


Yang belum berkursus, seeloknya terus daftar dan jangan bertangguh. Makin lama, yuran kursus makin naik. Sijil kursus kahwin tiada tarikh luput dan sah digunakan di seluruh Malaysia. Tak semestinya nak berkahwin baru kena pergi kursus. Jangan takut, hanya pergi dengar ceramah sahaja. Belum ada ujian lagi buat masa sekarang.

Senarai lokasi kursus kahwin di seluruh Malaysia boleh di dapati di sini.

2. TETAPKAN TARIKH NIKAH

Ini sangat penting dan jangan memandang remeh. Kedua-dua belah pihak pasangan perlu berbincang dengan teliti.

3. AMBIL UJIAN HIV

Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan kepada semua bakal pengantin untuk menjalani ujian HIV. Keputusan HIV wajib disertakan bersama dokumen-dokumen permohonan nikah yang lain. Nak buat awal pun boleh. Keputusan HIV sah digunakan untuk tempoh 6 bulan.

4. ISI BORANG PERMOHONAN NIKAH

Borang permohonan dan segala dokumen berkaitan hendaklah disediakan dan dilengkapkan secepat mungkin.

5. TEMPAH JURUNIKAH / TOK KADI

Yang ni jangan bertangguh. Jurunikah dan tok kadi juga ada pelbagai urusan lain. Tempah siap-siap, nanti tak pening kepala.

6. TENTUKAN TEMA MAJLIS KAHWIN

Bincang dan capai kata sepakat antara bakal pengantin dan ibu bapa mengenai tema majlis.

7. SEDIAKAN MAS KAHWIN & BELI BARANG HANTARAN

Rancang dengan teliti bersama pasangan berkenaan barangan yang diperlukan sebagai hantaran. Seeloknya adalah barangan kegunaan harian. Yang perlu diberi keutamaan adalah cincin nikah. Elakkan pembaziran supaya tidak berhutang di kemudian hari.

8. CARI DOORGIFT & BUNGA TELUR

Cari doorgift yang sesuai dengan bajet dan kemampuan anda.

9. GUBAH BARANG HANTARAN

Jika anda kreatif dan bertangan seni, anda boleh gubah sendiri barang hantaran. Sedikit sebanyak perbelanjaan dapat dijimatkan. Kalau anda tidak kreatif, boleh minta bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan yang kreatif.

10. TETAPKAN JUMLAH TETAMU & SENARAI TETAMU

Senaraikan nama tetamu yang anda ingin jemput. Pastikan tiada yang tertinggal, nanti ada yang berkecil hati pula. Jumlah tetamu ini penting untuk anda tentukan jumlah kad kahwin dan jumlah makanan yang perlu ditempah. Kalau makanan tak cukup, nanti ada tetamu yang mengata pula.

11. TEMPAH KATERING & KANOPI / DEWAN

Sebelum anda menempah katering, pastikan anda merasa contoh-contoh makanan hidangan. Pilih penyedia katering yang anda berpuas hati dengan masakan dan harga yang ditawarkan.

12. TEMPAH KAD KAHWIN

Anda digalakkan untuk menempah awal kad jemputan kahwin. Sebulan sebelum majlis berlangsung adalah tempoh yang sesuai untuk anda edarkan kad jemputan kepada sanak saudara, rakan-rakan dan kenalan.

13. TEMPAH BAJU PENGANTIN, PELAMIN & MAK ANDAM

Tempah mak andam/jurusolek mengikut kegemaran solekan anda. Biasanya sedikit bayaran dikenakan untuk booking slot.

14. TEMPAH JURUGAMBAR / JURUVIDEO

Anda perlu meneliti hasil gambar terdahulu samada berbaloi atau tidak dengan harga yang ditawarkan. Kalau mahukan gambar yang cantik, upah jurugambar yang profesional. Kebiasaanya agak mahal. Walaubagaimanapun, terdapat jurugambar part-time/freelance yang kualiti gambar menyamai hasil jurugambar profesional dengan harga yang berpatutan. Jadi anda kena pandai survey sebanyak yang boleh ya.

15. TEMPAH BANTING / PENUNJUK JALAN

Ini perlu untuk memudahkan tetamu yang dijemput supaya tidak sesat jalan dan tahu ke mana arah tuju yang sepatutnya mereka pergi, parking dan sebagainya.

16. TEMPAH KUMPULAN KOMPANG / SILAT / PERSEMBAHAN

Ini tidak wajib. Jika anda ingin lebih memeriahkan majlis dan menghiburkan para tetamu, bolehlah menempah. Yang penting, biarlah mengikut bajet dan kemampuan anda.

Kami berharap semoga checklist ini sedikit sebanyak boleh membantu anda mendapat gambar penuh seterusnya memudahkan anda merangka persiapan perkahwinan. Sekiranya anda tercari-cari servis dan produk perkahwinan seperti kursus kahwin, katering, pelamin, make-up artist, butik pengantin dan sebagainya, silakan ke laman utama KahwinLife.com untuk melihat senarai vendor yang menyediakan servis atau produk tersebut.

.

Artikel menarik:

Kongsikan