no script

Tahukah anda, salah satu perkara wajib dalam proses permohonan perkahwinan di Malaysia adalah untuk mengambil Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan. Kami kongsikan di bawah ini langkah demi langkah untuk membuat Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan bagi bakal pengantin di Malaysia. Semoga membantu.  🙂

 

[Pengenalan]

HIV iaitu Human Immunodeficiency Virus, atau dalam Bahasa Melayu adalah Virus Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit. HIV merupakan virus yang dapat memusnahkan sistem imunisasi badan dan menyebabkan pesakit terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan kanser.

AIDS, iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit Akut yang Teruk pula merupakan peringkat serius di mana pesakit yang dijangkiti HIV mula menunjukkan jangkitan yang khusus atau sel-sel pertahanan badan menurun.

HIV boleh merebak melalui darah yang dijangkiti HIV atau cecair badan seperti berkongsi suntikan jarum derma darah, menerima darah yang dijangkiti HIV, melakukan hubungan seks dengan penghidap HIV dan pelbagai lagi.

 

[Langkah-Langkah Membuat Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan]

 

Langkah 1: Kenalpasti Klinik Kesihatan Kerajaan Yang Berhampiran Dengan Kawasan Anda

Untuk permohonan perkahwinan, ujian saringan HIV hanya boleh dibuat di klinik kesihatan kerajaan dan hospital kerajaan sahaja. Klinik swasta atau hospital swasta tidak dibenarkan. Sila hubungi klinik pilihan anda terlebih dahulu untuk memastikan sama ada mereka menawarkan ujian saringan HIV atau tidak.

Senarai klinik kesihatan kerajaan di seluruh negeri di Malaysia boleh didapati di link ini.

Kebiasaannya, setiap klinik berbeza sesi ujian dan prosedur. Ambil kesempatan tersebut juga untuk mengetahui waktu ujian yang boleh dibuat. Buat temujanji jika perlu. Selain itu, semak jika negeri anda ada menyediakan borang khusus untuk ujian saringan HIV pra perkahwinan atau tidak.

 

Langkah 2: Bawa RM 1 dan Kad Pengenalan

Untuk ujian ini, anda hanya perlu membawa wang RM 1 dan Kad Pengenalan. (*Bayaran mungkin berbeza mengikut negeri)

 

Langkah 3: Isi Borang Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan

Klinik kesihatan kerajaan biasanya terbahagi kepada 3 bahagian iaitu bahagian Pergigian, Ibu & Anak dan Pesakit Luar. Sila pergi ke Kaunter Pendaftaran di bahagian Pesakit Luar dan beritahu pegawai yang bertugas untuk buat ujian saringan HIV pra perkahwinan.

Anda akan diberi Borang Permohonan Ujian Saringan HIV Pra Perkahwinan dan Borang Kebenaran Memberi Keputusan Ujian Saringan HIV (mengikut negeri masing-masing) untuk diisi. Untuk keselesaan anda, sila bawa pen sendiri berwarna hitam.

 

Langkah 4: Ujian Saringan HIV Menggunakan Rapid Kit Test

Ujian ini akan menggunakan Rapid Kit Test dan keputusan boleh diketahui terus dalam masa 15-20 minit. Darah anda akan diambil dari hujung jari dengan menggunakan jarum lancet.

 

Langkah 5: Keputusan Ujian HIV (Negatif atau Positif)

Jika Single Line, keputusan adalah negatif (tidak reaktif). Jika Double Line, keputusan adalah positif (reaktif).

Anda akan dimaklumkan mengenai keputusan ujian dan akan diberi sampul surat untuk diserahkan kepada Pendaftar Perkahwinan nanti.

Jika keputusan adalah HIV Negatif, anda boleh terus pulang selepas mendapat keputusan ujian.

Bagi yang HIV Positif, kebenaran anda diperlukan untuk membuat ujian pengesahan susulan di mana 5 mililiter darah akan diambil. Kebiasaannya, keputusan ujian susulan dapat diketahui dalam tempoh 2 minggu. Setiap kes HIV Positif perlu dirujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga atau Klinik Penyakit Berjangkit. Anda akan diminta untuk datang kembali ke klinik kesihatan tersebut dalam tempoh 2 hingga 3 minggu berikutnya untuk mengambil keputusan ujian dan anda akan diberikan sesi bimbingan kaunseling di Pejabat Agama samada ingin meneruskan perkahwinan ataupun tidak.

 

[Antara Soalan Lazim Yang Kerap Ditanya]

Soalan 1

Adakah ujian saringan HIV pra perkahwinan boleh dibuat di klinik atau hospital swasta?
Jawapan: Ujian saringan HIV pra perkahwinan hanya boleh dibuat di klinik kesihatan dan hospital kerajaan sahaja.

Soalan 2

Adakah ujian saringan HIV mempunyai tempoh sah untuk proses permohonan perkahwinan?
Jawapan: Betul, tempoh sah laku ujian saringan HIV untuk permohonan perkahwinan adalah dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh ujian dilakukan.

Soalan 3

Dimanakah borang ujian saringan HIV pra perkahwinan boleh diperolehi dan berapakah bayaran yang dikenakan?
Jawapan: Borang tersebut boleh diperolehi di klinik kesihatan kerajaan dengan bayaran pendaftaran RM 1.00/seorang.

Artikel menarik:

Kongsikan